Sebagai jaminan kerjaya dan minat, figura kegemaran remaja iaitu One daripada kumpulan Forteen tidak mahu terlepas peluang menceburi bidang perniagaan.

Menurut One atau Muhammad Ridzuan Shariffudin, karier nyanyiannya bersama kumpulan Forteen masih menjadi keutamaan, namun dia juga mempunyai hobi iaitu gemar pergi ke gimnasium.

Berkongsi minat sama iaitu rakannya, Jaspal Singh Ajaib Singh, mereka berdua terfikir membuka sebuah spa untuk para kaki gimnasium seperti mereka.

“Tercetus fikiran untuk buka spa lelaki ekoran minat saya dan rakan, Jaspal Singh gemar melakukan aktiviti latihan fizikal di gimnasium.

“Kami memang kaki gimnasium, bila selalu workout kita akan mengalami sakit-sakit badan, otot lenguh dan kadangkala kecederaan pada otot.

“Saya dan rakan terfikir iaitu kita boleh pergi untuk buat aktiviti merehatkan badan seperti di spa yang khusus untuk lelaki,” katanya ketika ditemui S2.

Khuatir dengan masalah tersebut, One berkata, kebanyakan spa yang ada di Malaysia khususnya sekitar Lembah Klang adalah untuk wanita.

“Memang ada spa untuk lelaki tetapi jumlahnya terlalu sedikit dan terletak jauh. Bayangkan anda pergi gimnasium di Shah Alam tetapi spa lelaki ada di Kuala Lumpur.

“Dalam keadaan penat, letih dan sakit badan, pasti sukar untuk memandu jauh semata-mata untuk pergi ke spa. Kalau sekadar berehat menghilangkan sakit badan pasti makan masa lama.

“Daripada situ tercetus idea membuka spa khusus untuk lelaki dan menyediakan perkhidmatan khas bagi kaki gimnasium terutama yang memerlukan rawatan kesakitan otot,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jaspal Singh berkata, spa mereka yang diberi nama Musclemen Spa itu dibuka pada akhir Ogos lalu dan menawarkan pelbagai perkhidmatan.

“Kita ada lima jenis perkhidmatan kepada pelanggan iaitu fokus keterampilan seperti waxing, pedicure dan manicure. Kedua pula urutan dan istimewanya adalah kami menyediakan rawatan aromaterapi serta urutan sukan.

“Rawatan badan turut ditawarkan seperti bekam, mandian susu, ‘body mask’, body scrub, rawatan detoks dan muka.

“Namun, apa yang menjadikan Musclemen Spa istimewa adalah perkhidmatan khas iaitu ‘muscular wax, ‘black ice cube peel of mask’, rawatan ais untuk otot, rawatan buang lemak, rawatan pemulihan otot dan vichy shower,” ujarnya.