We create a better Man

One Mahu Buka Spa

One Mahu Buka Spa
3 Ogos 2017

Ramai lelaki cenderung mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus menarik perhatian penyanyi yang juga anggota Forteen, One mencuba nasib dalam perniagaan spa lelaki.

Menurut One, idea itu tercetus sejak setahun lalu dan spa terbabit akan dibuka secara rasmi pada 25 Ogos ini.

Mengulas lanjut mengenai spa itu, One berkata ia unik kerana menyasarkan mereka yang ingin menjalani sesi terapi otot.

“Ada 25 jenis rawatan yang ditawarkan termasuk urutan untuk menggalakkan perkembangan otot selain beberapa rawatan unik seperti ‘waxing’, bekam dan sebagainya.

“Jadi, spa ini tidak hanya menyasarkan pelanggan umum tetapi juga terbuka untuk atlet,” katanya.

One turut berkongsi rasa teruja apabila ramai sudah membuat tempahan meski pun spa itu belum beroperasi.

“Saya ada membuka akaun Instagram untuk spa itu dan syukur, walaupun baru sebulan, sudah ada 3,000 pengikut.

“Ramai sudah buat tempahan awal. Ada juga di antara mereka bakal bergelar raja sehari,” katanya.

One bersama rakan kongsinya, Jaspal Singh juga mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kalau sambutan untuk spa pertama di Seksyen 7, Shah Alam ini baik, kami akan membuka beberapa cawangan di negeri lain pula.

“Ada juga peminat wanita mencadangkan supaya saya membuka spa khas untuk wanita dan ia juga ada dalam perancangan kami,” katanya.

Bagi memperkasakan lagi perkhidmatan yang ditawarkan, semua kakitangan bertugas akan diberikan latihan.

“Saya tidak mahu pelanggan meragui perkhidmatan kami, jadi setiap kakitangan akan diberikan latihan dan mempunyai sijil pengiktirafan sebelum menjalankan rawatan.

“Rakan kongsi saya juga ada pengalaman dalam bidang kesihatan dan kecergasan. Jadi, dia banyak menekankan aspek itu,” katanya.

Jadual kerja One juga semakin sibuk apabila perlu membahagikan masa di antara nyanyian dan perniagaan.

“Buat masa sekarang, fokus saya lebih kepada perniagaan sehingga hari pembukaan. Namun, keutamaan saya masih lagi muzik kerana ia sudah sebati dengan diri.

“Forteen masih dalam rangka promosi single Apa Ini Cinta. Insya-Allah, kalau semuanya lancar kami akan kembali ke studio untuk merakamkan lagu baru.,” katanya.