We create a better Man

Rizu Forteen Buka Spa Lelaki

Selain Menyanyi Rizu Forteen Kini Buka Spa Lelaki
20 Julai 2017

Nampaknya semakin ramai artis yang menceburi bidang perniagaan selain terus aktif dalam bidang seni.

Terbaru kami baca di laman BH Online, salah seorang ahli Forteen iaitu Rizu telah memulakan perniagaan yang agak berbeza dari perniagaan artis-artis lain sebelum ini. Rizu kini menceburi dunia perniagaan dengan membuka spa untuk golongan lelaki.

Spa yang dibangunkan di sebuah premis komersial di Seksyen 7, Shah Alam itu dijangka dirasmikan pada 27 Ogos depan dan mula menerima pelanggan, keesokannya.

Rizu atau nama sebenarnya, Muhd Rizuwan Sharifuddin berkata, dia dan seorang rakan kongsi yang dikenali sejak lima tahun lalu, menggerakkan usaha memulakan projek membuka spa lelaki, kira-kira setahun lalu.

“Lelaki sering berdepan masalah mencari pusat kecantikan atau spa khusus untuk mereka. Kalau adapun, banyak di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Spa ini akan menyediakan pelbagai perkhidmatan. Tidak hanya urutan, kita juga menyediakan khidmat tatarias kuku tangan dan kaki selain membuang bulu roma,” katanya kepada BH Online.

Rizu berkata, kebanyakan lelaki sekarang sudah mula menjaga penampilan dan kebersihan diri.

Menurutnya, akaun Instagram rasmi spa yang diusahakannya itu mula menarik perhatian ramai sejak diaktifkan, dua minggu lalu.

“Malah sudah ada pelanggan yang menghantar mesej untuk membuat tempahan awal,” katanya.

Mengenai bidang nyanyian, Rizu berkata, kesetiaannya bersama anggota Forteen tidak perlu dipersoalkan.

“Nyanyi tetap nyanyi. Saya sudah berbincang dengan rakan kongsi mengenai perkara ini. Jika saya ada undangan di luar daerah, rakan kongsi yang akan menguruskan spa kami,” katanya.

Kami mendoakan semoga perniagaan Rizu ini akan semakin maju dan berkembang! Tahniah dari Suria.

sumber : BH Online